Penternakan Ayam Kampung Kacukan Buka Peluang Ekonomi Baharu Di Spaoh
SPAOH: Industri penternakan ayam kampung kacukan berpotensi membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian dan penternakan di kawasan Spaoh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau berharap Spaoh dapat membangunkan industri penternakan ayam kampung kacukan sebagai satu aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada penduduk.
Menurut beliau, penternakan ayam kampung kacukan mempunyai kelebihan dari segi tempoh pembesaran yang lebih singkat berbanding ayam kampung biasa, iaitu sekitar dua bulan sebelum boleh dipasarkan.
“Kalau menternak ayam kampung mengambil masa yang lebih lama berbanding ayam kacukan yang dua bulan, sudah dapat dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni peserta Bengkel Penternakan Ayam Kampung Kacukan dan Membuat Produk Hiliran DUN N.37 Bukit Saban di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban pada Sabtu.
Justeru, beliau turut menasihati para penternak supaya mengatur jadual penternakan dengan baik, khususnya dalam aspek pembesaran ternakan bagi memastikan proses pemasaran dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu berkata, industri penternakan ayam kampung kacukan merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan makanan, khususnya sebagai industri huluan yang mampu menyokong perkembangan ekonomi tempatan.
Menurut beliau, ketiadaan bekalan anak ayam kacukan yang konsisten di Spaoh ketika ini merupakan antara cabaran yang dihadapi penternak, namun keadaan itu turut membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk menjadi pembekal utama anak ayam kacukan di kawasan berkenaan.
Selain itu, peluang ekonomi turut boleh diwujudkan melalui pembekalan baja dan makanan organik bagi memenuhi keperluan penternak ayam kampung kacukan.
Bengkel anjuran Persatuan Penternak Kawasan Bukit Saban, Betong itu berlangsung selama dua hari bermula Sabtu sebagai inisiatif meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang penternakan ayam kampung kacukan serta penghasilan produk hiliran.
Seramai 50 peserta terdiri daripada ahli persatuan, penternak ayam kampung kacukan dan usahawan tempatan telah berdaftar untuk menyertai bengkel berkenaan.
Peserta turut menerima taklimat berkaitan penggunaan mesin retort untuk penghasilan produk hiliran serta mengikuti bengkel penternakan ayam kampung kacukan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong, Pengerusi Persatuan Penternak Kawasan Bukit Saban Betong, Dr. Serit Banyan serta Penolong Pegawai Veterinar Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Betong, Welliemina Merry. - EDISI UKAS