SARIKEI: Pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam menjadi asas penting kepada kestabilan serta keharmonian masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, jasa dan komitmen warga polis wajar dihargai kerana mereka memikul tanggungjawab besar melindungi keselamatan masyarakat.
Menurutnya, keamanan yang dinikmati penduduk membolehkan pelbagai aktiviti harian berlangsung dengan lancar, termasuk urusan perniagaan serta pendidikan tanpa gangguan terhadap keselamatan.
"Keamanan yang kita nikmati hari ini membolehkan rakyat menjalani kehidupan harian dengan tenang, peniaga berniaga dengan selesa, dan anak-anak pergi ke sekolah dengan selamat," katanya.
"Semua ini tidak akan tercapai tanpa pengorbanan masa, tenaga dan keselesaan peribadi tuan-tuan dan puan-puan. Terima kasih kerana sentiasa menjaga Sarikei," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih anjuran Kelab Polis Sarikei di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Anthony, pada Sabtu.
Dato’ Sri Huang berkata, persaraan menandakan berakhirnya satu tempoh perkhidmatan, manakala pertukaran penempatan memberi peluang kepada anggota meneruskan bakti dalam lingkungan tanggungjawab baharu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas kepimpinan dalam memastikan kebajikan rakyat dan kebajikan polis terus diberi perhatian.
Sehubungan itu, beliau berharap hubungan erat antara PDRM dengan masyarakat terus diperkukuh bagi mengekalkan keamanan serta menyokong kemajuan berterusan di Sarikei.
Dalam pada itu, sumbangan RM10,000 disalurkan kepada Kelab Polis Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan serta menghargai komitmen pasukan polis menjaga keamanan daerah.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato’ Ir. Yusuf Abd Wahab, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis, Ketua Polis Daerah Julau, Rowney Michael Jalak serta Ketua Polis Daerah Song, DSP Benedict Faris Jimoy. - EDISI UKAS