Calon SPM SMK Semop Diseru Capai Keputusan Cemerlang
DARO: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop diseru agar berusaha bersungguh-sungguh mencapai keputusan cemerlang sekali gus membuka peluang lebih luas untuk melanjutkan pengajian dan membina masa depan.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab berkata, peperiksaan SPM merupakan antara landasan penting yang menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya seseorang murid.
Menurut beliau, seramai 106 calon yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan perlu memanfaatkan masa yang ada untuk memperkukuh persediaan, memperbaiki kelemahan serta meningkatkan penguasaan dalam setiap mata pelajaran.
Tegasnya, kejayaan tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut disiplin, pengorbanan, kesungguhan dan doa yang berterusan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pensijilan dan Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-9 SMK Semop, Daerah Daro Tahun 2026 pada Sabtu.
Dato Ir. Yusuf turut menyuarakan keyakinan bahawa murid-murid SMK Semop berupaya mencapai keputusan yang membanggakan sekiranya mempunyai semangat tinggi serta membuat persediaan rapi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kecemerlangan murid tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi aspek sahsiah, disiplin, kepimpinan, kokurikulum dan pembentukan nilai-nilai murni.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik SMK Semop atas komitmen dan pengorbanan dalam mendidik serta membimbing murid, selain menekankan kepentingan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dalam memastikan kejayaan pendidikan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan simbolik perasmian Dewan Makan SMK Semop yang dibangunkan menerusi Projek Mesra Rakyat Parlimen Tanjung Manis dengan peruntukan berjumlah RM276,000.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Zon Sibu dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah.
Pembinaan kemudahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh prasarana pendidikan serta menyediakan persekitaran sekolah yang lebih kondusif untuk warga SMK Semop.
Terdahulu, majlis berkenaan diadakan bagi mengiktiraf pencapaian serta usaha gigih murid dalam bidang akademik dan kokurikulum, di samping menghargai sumbangan guru serta seluruh warga sekolah sepanjang tahun 2026.
Dato Ir. Yusuf turut berharap agar warga SMK Semop terus menjadikan kecemerlangan sebagai budaya dan tidak berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus berusaha melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Semop, Saidin Mostapha, wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Zaini Juki, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Amaluddin, Pegawai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Sarawak, Mohd. Aliff Faizal Hamid, Mohammad Azree Kamri, Norfitri Amin, Hafijah Hakim, Jerry Umpi dan Mohammad As-Saddam Abdul Rajak. - EDISI UKAS