121 Pelajar Sertai Majlis Khatam Al-Quran Di Saratok
SARATOK: Seramai 121 pelajar Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Al-Muhtadin Saratok pada Sabtu.
Majlis anjuran SK Abang Abdul Rahman itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS), Mohamad Duri.
Program tahunan berkenaan diadakan bagi meraikan kejayaan para pelajar menamatkan pembelajaran Al-Quran di sekolah, selain menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka.
Penganjuran majlis itu juga bertujuan menyemai kecintaan terhadap Al-Quran serta menggalakkan para pelajar terus istiqamah membaca, memahami dan menghayati ajarannya dalam kehidupan seharian.
Mohamad Duri dalam ucapannya berharap agar usaha tersebut dapat membentuk generasi muda yang mempunyai sahsiah terpuji, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pendidikan Unit Pendidikan Agama Daerah Saratok Ustaz Sharil Naim, Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abang Abdul Rahman Mahrup Enggan serta wakil Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Betong Ustaz Afendi Ismail.-EDISI UKAS