Lubok Antu Berpotensi Dibangunkan Sebagai Bandar Sempadan
LUBOK ANTU: Lubok Antu berpotensi dibangunkan sebagai sebuah bandar sempadan (Border Town) dengan pembangunan fasa pertama melibatkan pembinaan 60 unit premis perniagaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pembangunan tersebut berpotensi memperluas peluang perniagaan serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat tempatan.
Selain itu, penduduk turut digalakkan mengusahakan tanaman buluh yang berpotensi menjadi sumber bahan mentah bagi industri biojisim, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (MPBR) di Rumah Gawang, Kaong Ili, Skim Penempatan Semula (SPS) Fasa 1, Batang Ai di sini pada Jumaat.
Dalam aspek pendidikan, Datuk Dr Malcolm turut menekankan kepentingan sokongan berterusan bagi memperluas akses pendidikan kepada anak-anak tempatan.
Beliau turut menyentuh peranan Sarawak Development Institute (SDI) serta sokongan kewangan yang disalurkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) kepada Tabung Pendidikan Batang Ai dalam membantu pembangunan pendidikan masyarakat setempat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau memaklumkan bahawa pengagihan peruntukan pembangunan menerusi Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) dilaksanakan secara berperingkat, melibatkan 97 rumah panjang di kawasan Batang Ai dan 197 rumah panjang di kawasan Engkilili.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya menyalurkan aduan berkaitan kejadian bencana seperti tanah susur kepada Pejabat Daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil oleh agensi berkaitan.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lubok Antu, Stanley Nunsang, Pemanca Grang Juben dan Pemanca Chua Kee Long. –EDISI UKAS