Pantu, Balai Ringin Terus Diperkasa Menerusi Projek Pembangunan RM325 Juta
PANTU: Pembangunan sosioekonomi di kawasan Pantu dan Balai Ringin terus diperkasa menerusi pelaksanaan serta perancangan projek infrastruktur bernilai kira-kira RM325 juta, melibatkan kemudahan jalan raya, pusat pentadbiran dan pasar baharu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, pembangunan sesebuah kawasan memerlukan pelan induk yang sistematik bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara berperingkat dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Antara perancangan utama ialah pembangunan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) berhampiran Kampung Sungai Merah yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 50 ekar dengan peruntukan awal RM5 juta bagi kerja-kerja penyediaan tapak.
Dalam aspek kesalinghubungan, beliau memaklumkan projek pembinaan Jalan Ipoh-Tuba-Muding-Mentu Dalam bernilai kira-kira RM265 juta kini mencapai kemajuan antara 15 hingga 20 peratus.
Selain itu, pembinaan Pasar Baharu Balai Ringin dengan peruntukan RM55 juta turut dirancang bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta memperluas peluang perniagaan kepada penduduk.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Panggau Pantu dan Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 di sini pada Sabtu.
Datuk Snowdan turut menekankan kepentingan memperluas akses pendidikan dan latihan vokasional kepada generasi muda, selain memastikan pembangunan kemudahan asas terus diberi keutamaan.
Dalam pada itu, beliau menyeru Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) supaya memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam memastikan maklumat mengenai perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan disampaikan secara tepat dan berkesan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Pantu dijangka bermula pada 2027 bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air kepada penduduk.
Menurut beliau, perancangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu serta cadangan penubuhan sekolah vokasional di Pantu turut diberi perhatian bagi memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada anak-anak tempatan.
Dalam usaha memperkasakan kepimpinan akar umbi, Sarawak Skills turut dilantik bagi mengendalikan bengkel dan latihan kemahiran teknologi maklumat kepada pemimpin masyarakat di kawasan Parlimen Sri Aman.
Dalam pada itu, penganjuran Pesta Pantu 2026 yang menarik kehadiran kira-kira 550 orang terus menjadi platform memperkukuh perpaduan komuniti, mempromosikan warisan budaya serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Turut hadir ialah isteri Datuk Snowdan, Datin Melinda Claudia Bucking, suami Dato Sri Doris, Dr William Chua, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Daerah Pantu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2026, Raca Mulong, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam, Pegawai Tadbir Khas SADA, Alfred Geling Ason, Wali Kota Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abell Chendan serta tetamu lain. –EDISI UKAS