Karnival Sukan Zon 9 Serayan Perkukuh Perpaduan Komuniti
LUNDU: Penganjuran Karnival Sukan Zon 9 Serayan 2026 yang menghimpunkan kira-kira 100 penduduk menjadi platform memperkukuh perpaduan, mengeratkan hubungan silaturahim serta membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Pengerusi SABERKAS Cawangan Opar, Billy Sujang berkata, aktiviti kesukanan merupakan antara pendekatan kreatif dalam menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam program pembangunan komuniti.
Menurut beliau, program kemasyarakatan tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti gotong-royong semata-mata, sebaliknya boleh dipelbagaikan menerusi aktiviti sukan, riadah dan sosial yang menghimpunkan penduduk daripada pelbagai lapisan umur.
Beliau berkata demikian ketika Karnival Sukan Zon 9 Serayan 2026 anjuran Jawatankuasa Komuniti Zon 9 Serayan di Sekolah Kebangsaan (SK) Serayan/Keranji di sini pada Sabtu.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen dan kreativiti dalam menjayakan karnival berkenaan, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama serta persefahaman dalam kalangan penduduk.
Beliau berharap agar program seumpama itu terus dipergiat dengan penyertaan lebih ramai penduduk demi memelihara keharmonian dan semangat muafakat masyarakat.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen kepimpinan akar umbi dan penduduk dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti menerusi aktiviti kesukanan dan rekreasi.
Turut hadir ialah Kaunselor Sinto Lapeng, Kaunselor Jackson Angit serta Ketua-ketua Kampung Madin Etot, Bong Chai Chin, Low Wen Chieh, Justan Matu dan Karono Tisen. –EDISI UKAS