15 Agensi Kerajaan Turun Padang Dekatkan Perkhidmatan Kepada Rakyat Simunjan
SIMUNJAN: Penyertaan 15 agensi kerajaan dalam Program Simunjan Sejahtera membolehkan penduduk setempat mendapatkan pelbagai perkhidmatan, maklumat bantuan serta khidmat nasihat secara langsung tanpa perlu berurusan di luar kawasan mereka.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pendekatan turun padang itu penting dalam memastikan masyarakat mendapat akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan, termasuk bantuan, geran pembiayaan dan inisiatif pembangunan keusahawanan.
Menurut beliau, antara kemudahan yang boleh dimanfaatkan ialah perkhidmatan pembiayaan usahawan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Kampung Hijrah, Simunjan.
“Melalui kemudahan ini, masyarakat boleh mendapatkan khidmat berkaitan tanpa perlu berulang-alik ke Kuching atau Serian, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Simunjan Sejahtera di Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rodiyah turut menggalakkan penduduk supaya berkongsi maklumat dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program, termasuk menerusi taklimat kepada pekebun kecil sawit, dengan ahli keluarga serta penduduk kampung yang tidak berkesempatan hadir.
Menurut beliau, usaha menyebarluaskan maklumat penting bagi memastikan lebih ramai penduduk mengetahui dan memanfaatkan pelbagai bantuan serta kemudahan yang disediakan kerajaan.
Program anjuran Majlis Daerah Simunjan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menarik kehadiran kira-kira 150 orang, selain menyediakan kaunter perkhidmatan dan pameran maklumat bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kaunselor Mohammad Zaini Morshidi. –EDISI UKAS