Rumah Ibadat Wadah Perkukuh Perpaduan, Keharmonian Masyarakat
GEDONG: Rumah ibadat bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menjalankan aktiviti keagamaan, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di Sarawak.
Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, keharmonian yang dinikmati rakyat Sarawak selama ini perlu terus dipelihara menerusi sikap saling menghormati, menghargai perbezaan kepercayaan dan mengutamakan semangat kebersamaan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang agama menerusi pelbagai inisiatif, termasuk bantuan pendidikan, kebajikan serta pembangunan rumah ibadat melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Gereja Baharu St. Mark Chapel, Gayau di Dewan Terbuka Kampung Gayau Padok, Gedong pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Dato Sri Mohd Naroden turut menyampaikan sumbangan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada gereja berkenaan melalui Pusat Khidmat DUN Gedong bagi menyokong pembangunan institusi keagamaan setempat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pembangunan infrastruktur, kemudahan perhubungan dan sektor pertanian di Gedong terus diberikan perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya golongan belia.
Turut hadir ialah bekas Biskop Keuskupan Anglikan Kuching, Bishop Aeris Sumping Jingan, Paderi Bertanggungjawab St. Steven Simunjan, Reverend Jeffery Munap dan Pengerusi St. Mark Chapel, Gayau, Subdeacon Jak Antulai. -EDISI UKAS