Perpaduan Rakyat Asas Kesinambungan Pembangunan Sarawak
SIMUNJAN: Perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan serta kesinambungan agenda pembangunan Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, perbezaan kaum, agama dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Menurut beliau, masyarakat perlu bijak menilai maklumat yang diterima dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang unsur yang boleh menggugat keharmonian serta memecahbelahkan masyarakat.
“Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan silaturahim sesama kita.
“Saya berharap masyarakat terus mengekalkan semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama demi memastikan keharmonian yang dinikmati selama ini terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Program Simunjan Sejahtera di Dewan Mesra Simunjan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rodiyah turut menekankan kepentingan memelihara kestabilan negeri bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan secara mampan, sekali gus merealisasikan aspirasi Sarawak Maju 2030.
Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kaum agar terus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kaunselor Mohammad Zaini Morshidi. –EDISI UKAS