TYT Sarawak & Isteri Hadiri Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak Yayasan Pengakap Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak Yayasan Pengakap Sarawak, di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan 25 tahun penubuhan Yayasan Pengakap Sarawak yang memainkan peranan dalam pembangunan generasi muda menerusi penerapan nilai kepimpinan, disiplin, kesukarelawanan dan khidmat kepada masyarakat.
Pada majlis itu, Tun Pehin Sri yang juga Penaung Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak berkenan menyempurnakan gimik perasmian sambutan Jubli Perak dengan menyalakan unggun api sebagai simbolik semangat kepengakapan.
Beliau turut melancarkan Anugerah Pengakap Berkualiti serta menyampaikan Sijil Pengakap Raja kepada para penerima.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut menerima Anugerah Pengakap Berkualiti yang disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak, Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Pengakap Sarawak, Arthur Lee Cheng Chuan, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, John Lim Boon Beng dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis, Kolonel Juma’at Ibrahim.
Majlis turut diisi dengan tayangan montaj khas yang mengimbau sejarah penubuhan, perkembangan dan pencapaian Yayasan Pengakap Sarawak sepanjang 25 tahun, selain acara memotong pulut kuning bersama Toh Puan dan tetamu kehormat. -EDISI UKASl