Liga Bola Sepak Lundu Kembali Pada 2027 Dengan Format Baharu
LUNDU: Liga Bola Sepak Lundu akan diteruskan pada 2027 dengan format pertandingan baharu bagi memberi kelainan kepada kejohanan itu serta menarik lebih banyak penyertaan pasukan tempatan.
Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar Adenan berkata, kesinambungan liga berkenaan penting bagi memastikan pertandingan bola sepak di peringkat daerah terus berlangsung dan memberi ruang kepada pasukan tempatan untuk bersaing.
Menurutnya, penyertaan pasukan dalam edisi 2026 menunjukkan minat masyarakat terhadap bola sepak di Lundu masih mendapat sambutan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Liga Bola Sepak Lundu 2026, di sini pada Sabtu.
Dalam kejohanan itu, Fadzio FT muncul juara selepas menewaskan Bajo Mix FC 2-0 pada perlawanan akhir.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Fadzio FT atas kejayaan tersebut dan berharap pencapaian liga tahun ini dapat menjadi dorongan kepada penganjuran yang lebih baik pada edisi akan datang.
Turut hadir Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Billy Sujang, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail. -EDISI UKAS