Pelajar Perlu Lebih Daripada Keputusan Cemerlang -Dato Sri Dr Stephen Rundi
SEBAUH: Pelajar perlu memiliki daya tahan dan kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan, bukan sekadar mengejar keputusan akademik cemerlang, bagi menghadapi tuntutan kehidupan dan dunia pekerjaan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kecemerlangan pelajar tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik dan kecerdasan intelektual semata-mata.
Sebaliknya, katanya, mereka perlu dilengkapi keupayaan menghadapi cabaran serta menyesuaikan diri dalam persekitaran berbeza.
“Tidak ada yang lebih penting daripada pendidikan. Kita bukan sahaja mahu melihat prestasi akademik, tetapi kita mahu anak-anak kita mempunyai daya tahan dalam menghadapi apa jua cabaran, sekali gus mempersiapkan mereka untuk hidup dalam komuniti yang baik dan seterusnya menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Murid SMK Sebauh Tahun 2026, di sini pada Sabtu.
Majlis itu meraikan 263 murid yang menerima anugerah atas pencapaian masing-masing sepanjang tahun ini.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memulakan ulang kaji lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Beliau juga menggalakkan pelajar mengambil individu yang berjaya serta mempunyai nilai positif sebagai contoh dalam menentukan hala tuju dan mencapai cita-cita.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak melepaskan peluang melanjutkan pengajian menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Katanya, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu dimanfaatkan dengan kesungguhan dalam pembelajaran serta perancangan masa depan. -EDISI UKAS