56 Keluarga Hakka Terima Bantuan Kebajikan Persatuan Hakka Miri
MIRI: Seramai 56 keluarga masyarakat Hakka yang memerlukan menerima bantuan kebajikan menerusi program tahunan Persatuan Hakka Miri bagi meringankan beban kehidupan mereka.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Presiden Persatuan Hakka Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, membantu anggota masyarakat yang berdepan kesulitan hidup merupakan antara tujuan utama penubuhan persatuan berkenaan.
Beliau berkata demikian pada Program Pengagihan Bantuan Kebajikan kepada Keluarga Hakka, di sini pada Ahad.
Menurutnya, program yang memasuki tahun ketiga itu diteruskan bagi memastikan keluarga yang memerlukan tidak terpinggir daripada perhatian persatuan.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya mengekalkan nilai saling membantu yang diwarisi daripada generasi terdahulu, khususnya keprihatinan terhadap anggota masyarakat yang menghadapi kesukaran.
Katanya, amalan tersebut sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Hakka, terutama ketika generasi terdahulu menetap di kawasan luar bandar dan banyak bergantung kepada kerjasama sesama komuniti.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan anggota persatuan serta masyarakat Hakka yang berdepan masalah atau memerlukan bantuan supaya menghubungi pihak persatuan untuk pertimbangan lanjut. -EDISI UKAS