DK PicklePod Tambah Pilihan Aktiviti Sukan Di Petra Jaya
KUCHING: Pembukaan DK PicklePod dengan 13 gelanggang pickleball di Petra Jaya memberi lebih banyak pilihan kepada penduduk setempat untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kemudahan itu juga berpotensi menjadi lokasi pertemuan komuniti, khususnya bagi penduduk yang ingin mencuba sukan pickleball.
Menurut beliau, sukan berkenaan bukan sahaja sesuai untuk golongan muda, malah boleh disertai masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
“Lebih penting, inisiatif ini bukan hanya memberikan tempat untuk bermain, tetapi memainkan peranan dalam membentuk budaya kehidupan yang sihat dan aktif dalam kalangan anggota komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan DK PicklePod, di sini pada Sabtu.
Datuk Dr Abdul Rahman berkata, perkembangan pickleball turut memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi di luar rutin harian, selain menggalakkan lebih ramai penduduk meluangkan masa dengan aktiviti fizikal. -EDISI UKAS