Masyarakat Perlu Kuasai Kemahiran, Rebut Peluang Ekonomi Baharu
LAWAS: Masyarakat perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, khususnya dalam bidang teknologi, supaya dapat mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi serta memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keberkesanan agenda pembangunan negeri bukan sahaja bergantung kepada pelaksanaan dasar kerajaan, tetapi turut memerlukan penglibatan aktif masyarakat.
“Pembangunan bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi turut memerlukan persediaan masyarakat dari segi pengetahuan, kemahiran dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi serta perkembangan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA) @ KKDW 2026 Peringkat Negeri Sarawak, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, program yang menggabungkan inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan serta menggalakkan penyertaan mereka dalam pelbagai program pembangunan, termasuk dalam kalangan belia.
Datuk Amar Awang Tengah turut menekankan kepentingan pembangunan bakat tempatan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membolehkan masyarakat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata perpaduan dan kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menarik pelaburan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengembangkan sektor industri.
Katanya, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menjadi kerangka pembangunan Sarawak yang memerlukan sokongan serta penglibatan semua pihak.
Mengulas pembangunan di Lawas, beliau berkata perancangan penyediaan kemudahan dan infrastruktur di kawasan itu akan terus diberi perhatian bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Dato Paulus Palu Gumbang; Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS Malaysia, Mohd Zamri Mustajap, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Taufiq Mohd Yusuf, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jienal Abiedin Datuk Pengiran Jawa serta Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok. -EDISI UKAS