SAREX26 Perkukuh Jalinan Antarabangsa, Pacu Persediaan Sukan SEA 2027
KUCHING: Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) menjadi platform strategik bagi Sarawak memperkukuh kerjasama dengan badan e-sukan dan pemain industri antarabangsa, khususnya dalam persediaan menjadi tuan rumah acara e-sukan Sukan SEA 2027.
Usaha itu diperkukuh menerusi majlis makan malam jaringan strategik di Muzium Budaya Borneo pada Sabtu yang menghimpunkan wakil badan e-sukan antarabangsa, pemimpin industri serta pegawai kanan Kerajaan Sarawak.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada kerjasama rentas negara, perkongsian kepakaran serta penerokaan potensi pembangunan dan pengkomersialan industri e-sukan di Sarawak.
Antara delegasi antarabangsa yang hadir ialah Ahli Lembaga Persekutuan E-Sukan Rusia (RESF), Constantine Surkont, Pengarah Media Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IESF), Laura Elizabeth dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kin Global, Vincent Chai.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Morshidi Fredrick.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memanfaatkan pengalaman dan kepakaran badan antarabangsa bagi menyokong persediaan Sarawak dalam menjayakan penganjuran temasya sukan bertaraf serantau itu.
SAREX26 turut mengetengahkan potensi e-sukan sebagai industri yang bukan sahaja berteraskan pertandingan kompetitif, malah berupaya menjana peluang pelaburan, perniagaan dan pembangunan bakat tempatan.
Ekspo anjuran Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) yang berlangsung dari 13 hingga 15 November di Perkampungan Sukan Sarawak, Kuching itu menawarkan pelbagai pengisian, termasuk kejohanan e-sukan dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000.
Antara pengisian lain ialah Bengkel Pensijilan Krew E-Sukan, pameran, aktiviti komuniti serta sesi perkongsian ilmu bersama pemimpin industri antarabangsa.
SAREX26 akan melabuhkan tirainya pada Ahad menerusi majlis penutupan bermula jam 7 malam, yang turut menampilkan sesi perbincangan bersama delegasi antarabangsa mengenai peluang perniagaan dan kerjasama dalam industri e-sukan. -EDISI UKAS