Majlis Solat Hajat & Munajat Perdana Santuni Calon SPM Parlimen Petra Jaya
KUCHING: Majlis Solat Hajat dan Munajat Perdana anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Petra Jaya yang berlangsung di Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini pada Sabtu menjadi platform terbaik memohon keberkatan, ketenangan jiwa serta kejayaan buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 menjelang peperiksaan berkenaan.
Majlis penuh keberkatan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Penganjuran program hasil kerjasama strategik bersama beberapa agensi dan pertubuhan itu bertujuan menyuntik sokongan moral serta spiritual kepada para pelajar, selain mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan sepanjang menduduki peperiksaan.
Pengisian program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti sesi tausiyah yang disampaikan oleh tokoh pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid kepada para pelajar dan hadirin.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak sebelum diakhiri dengan solat hajat dan bacaan munajat perdana yang dipimpin sendiri oleh Habib Ali Zaenal Abidin. -EDISI UKAS