Belia Perlu Terjemah Kesedaran Alam Sekitar Kepada Tindakan
MIRI: Generasi muda perlu memainkan peranan lebih aktif dalam melindungi biodiversiti Borneo dengan menterjemahkan pengetahuan dan kesedaran alam sekitar kepada tindakan nyata di sekolah serta komuniti masing-masing.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ancaman perubahan iklim, penebangan hutan, pencemaran dan kehilangan biodiversiti memerlukan penglibatan masyarakat secara menyeluruh, bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan atau organisasi alam sekitar.
“Amalan seperti mengurangkan penggunaan plastik, menjimatkan air, menanam pokok dan menjaga kebersihan persekitaran merupakan antara langkah yang boleh dilaksanakan oleh setiap individu bagi menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Hospital Miri merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Miri, Dr Jack Wong Siew Yu, pada Majlis Penutupan ‘Borneo Environmental Camp’ Peringkat Negeri 2026, di sini pada Ahad.
Dato Sri Lee turut mengaitkan misi kemanusiaan PBSM dengan perlindungan alam sekitar dan daya tahan iklim kerana persekitaran yang lebih sihat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Borneo Environmental Camp 2026 anjuran PBSM Cawangan Miri menghimpunkan 112 peserta, terdiri daripada 94 pelajar dan 18 guru pengiring dari Sibu, Kuching, Stampin, Bintulu, Miri dan Sabah, selama tiga hari bermula 13 hingga 15 November.
Sepanjang program, peserta mengikuti modul berkaitan perubahan iklim, pemuliharaan hutan dan biodiversiti, inovasi STEM serta makmal interaktif WWF yang merangkumi simulasi dan pemetaan ancaman alam sekitar.
Pada kemuncak program, peserta menerima pakai ‘Borneo Youth Environment Declaration’ 2026 sebagai komitmen mempromosikan kelestarian alam sekitar dan memainkan peranan aktif di sekolah serta komuniti masing-masing.
Hadir sama, Pengerusi Pengelola ‘Borneo Environmental Camp’ merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perlindungan Iklim dan Alam Sekitar PBSM Cawangan Miri, Dr Aaron Ismanto Anggang. -EDISI UKAS