604 Penerima Di Satok Terima Manfaat Bantuan Dana, Insurans Percuma
KUCHING: Seramai 604 penerima terdiri daripada pelajar sekolah dan golongan asnaf di kawasan Satok menerima manfaat menerusi pemberian bantuan dana pendidikan, kebajikan serta perlindungan insurans keselamatan secara percuma.
Daripada jumlah itu, seramai 500 murid sekolah rendah menerima perlindungan insurans keselamatan percuma, manakala 80 pelajar sekolah menerima bantuan dana pendidikan dan 24 individu daripada golongan asnaf menerima bantuan kewangan.
Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki di Dewan SJK Chung Hua No. 4, Jalan Nanas, di sini pada Sabtu.
Program anjuran Biro Pendidikan DUN N.8 Satok dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Green Road Kawasan A itu merupakan usaha berterusan dalam memperkasa kebajikan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek pendidikan dan kesejahteraan sosial.
Pada majlis tersebut, Datuk Haji Ibrahim turut menyempurnakan simbolik penyerahan Skim Perlindungan Insurans Keselamatan kepada murid sekolah rendah kawasan Satok serta menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dalam kalangan komuniti Cina di kawasan Jalan Nanas.
Inisiatif berkenaan diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga, menyokong keperluan pendidikan anak-anak serta menyediakan perlindungan tambahan kepada murid sekolah rendah.
Pelaksanaan program itu turut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Satok dalam memastikan kebajikan masyarakat pelbagai kaum terus diberikan perhatian secara inklusif dan menyeluruh.
Program tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 700 orang.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah-Sekolah Cina Sarawak, Dato Sri Richard Wee, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ir. Haji Irwan Zulkarnain Dato Haji Mohammad Hasbie, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJK Kuching No. 1 hingga 6, Dato Jonathan Chai Voon Tok dan Pengerusi JKKK Green Road Kawasan A, Kapitan Tan Kok Chiang. -EDISI UKAS