MIRI: Persatuan komuniti perlu memastikan aktiviti yang dianjurkan terus memberi nilai kepada ahli, khususnya dalam menyediakan ruang interaksi dan mengekalkan hubungan sesama anggota.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, persatuan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai organisasi, sebaliknya perlu berfungsi sebagai sebuah keluarga besar yang mengutamakan keprihatinan, kemesraan dan semangat saling membantu.
Menurutnya, penganjuran aktiviti bersama mampu meningkatkan persefahaman, mengeratkan persahabatan serta memberi pengalaman bermakna kepada ahli.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri ‘Winter Solstice, Christmas and Birthday Celebration Tea Party’ anjuran Persatuan Klan Chen, di sini pada Ahad.
Datuk Sebastian berkata, sambutan perayaan seperti Dongzhi dan Krismas turut membawa nilai keprihatinan, kesyukuran serta kasih sayang yang wajar diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, Dongzhi mempunyai makna budaya yang mendalam dalam masyarakat Cina kerana melambangkan penyatuan keluarga, kebahagiaan dan keharmonian.
Tradisi menikmati tangyuan atau bebola pulut bersama keluarga ketika perayaan itu mencerminkan kepentingan meluangkan masa bersama serta menghargai hubungan kekeluargaan.
Beliau berkata, nilai yang dibawa menerusi sambutan seumpama itu juga boleh diterapkan dalam pengurusan persatuan bagi memastikan hubungan antara ahli terus terpelihara. -EDISI UKAS