Produk Murid Berkeperluan Khas Berpotensi Dikembangkan, Buka Peluang Jana Pendapatan
KUCHING: Hasil kreativiti murid berkeperluan khas berpotensi dikembangkan sebagai produk komersial yang mampu meningkatkan kemahiran, keyakinan diri serta membuka peluang menjana pendapatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, aktiviti menghasilkan produk sendiri bukan sahaja memperkasa potensi kanak-kanak, malah menjadi salah satu bentuk sokongan perkembangan mereka.
Menurutnya, usaha itu selari dengan pendekatan pemerkasaan kanak-kanak yang turut diberi perhatian, seiring dengan agenda memperkasa wanita.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Motivasi Murid Berkeperluan Khas Sekolah Kebangsaan Astana 2026 di Pusat Konvensyen Penview (PCC), di sini, pada Sabtu.
Dalam ucapan sama, beliau turut berkongsi kejayaan dua beradik yang berjaya menjual lebih 1,000 unit produk dalam tempoh kira-kira satu setengah hari di Sarawak Plaza selepas mengikuti latihan selama dua hingga tiga hari.
Katanya, pencapaian itu membuktikan murid berkeperluan khas berupaya menghasilkan produk bernilai komersial sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan peluang bersesuaian.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan sektor swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan bagi membantu mereka menjana pendapatan dan hidup berdikari.
Dato Sri Nancy turut menekankan kepentingan kerjasama ibu bapa, sekolah, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam memastikan kebajikan serta masa depan kanak-kanak berkeperluan khas terus terbela.
Selain itu, kumpulan sokongan ibu bapa juga katanya perlu diperkukuh sebagai platform berkongsi pengalaman dan saling membantu dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak.-EDISI UKAS