RM5 Juta Disediakan Bagi Penyediaan Tapak IAC Daerah Pantu
PANTU: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi kerja-kerja penyediaan tapak pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Daerah Pantu dalam usaha memacu pembangunan dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, tapak pembinaan pusat pentadbiran itu telah dikenal pasti melibatkan kawasan seluas 50 ekar berdekatan Kampung Sungai Merah, Pantu.
“Kita sudah pun menyediakan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk melaksana kerja penyediaan tapak IAC Daerah Pantu di atas tanah berkeluasan 50 ekar berdekatan Kampung Sungai Merah.
“Jika ia mula dibina nanti maka kemudahan ini secara tidak langsung akan dapat memacu usaha pembangunan Daerah Pantu melalui perancangan menyeluruh, pelaksanaan berfasa serta kerjasama erat antara kerajaan dan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 di Panggau Pantu, Pekan Pantu pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan turut menekankan kepentingan memperluas rangkaian jalan raya dan sistem bekalan air bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut beliau, antara projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Jalan Ipoh-Tuba-Muding-Mentu dengan kos RM265 juta.
Projek berkenaan kini mencatatkan kemajuan fizikal antara 15 hingga 20 peratus dan dijangka membuka akses perhubungan yang lebih baik serta meningkatkan mobiliti penduduk apabila siap kelak.
Sementara itu, penganjuran Pesta Pantu 2026 bukan sahaja menjadi wadah memelihara warisan budaya masyarakat setempat, malah berfungsi sebagai platform penyampaian maklumat mengenai dasar dan perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Sophia Doris Brodie, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Alfred Geling Ason, Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abell Chendan, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam serta ketua-ketua jabatan. –EDISI UKAS