LUNDU: STB Team muncul juara Kejohanan Futsal Salako Rara 2026 yang menyaksikan persaingan 24 pasukan di Kampung Biawak.
Sangkuncai A menduduki tempat kedua, manakala Horis FC dan J-United XI berkongsi tempat ketiga.
Pemain STB Team, Ambrose Anyan turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan atas prestasinya sepanjang pertandingan.
Kejohanan anjuran Biro Belia Kampung Biawak itu menggunakan format liga berkumpulan dan turut membuka penyertaan kepada pasukan dari kawasan Tanjong Datu.
Pengerusi Biro Belia Kampung Biawak, Rehaman Enaj Maheran berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan memberi ruang kepada pemain tempatan mengetengahkan bakat dalam sukan futsal, selain menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti sukan.
Sementara itu, Billy Sujang berkata, pembangunan kemudahan sukan di kawasan Opar terus diberi perhatian, termasuk pembinaan dan penaiktarafan padang bola sepak, gelanggang futsal serta gelanggang serbaguna.
Beliau turut memaklumkan satu lagi pertandingan futsal akan dianjurkan di Kampung Opar dan menggalakkan pasukan serta pemain berminat untuk menyertainya. -EDISI UKAS