Pembangunan RM100 Bilion Tanjung Embang Bakal Pacu Ekonomi Zon Selatan Sarawak
KUCHING: Pembangunan berskala besar bernilai RM100 bilion di Tanjung Embang berpotensi mentransformasikan kawasan perkampungan itu menjadi bandar baharu dan hab pertumbuhan ekonomi strategik di Zon Selatan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pembangunan tersebut bakal membuka peluang ekonomi lebih luas menerusi pembinaan pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa serta kemudahan terminal.
“Jadi insya-Allah, kalau kita dengar pengumuman Yang Amat Berhormat Premier Sarawak kita, sebuah kampung kecil yang bernama Tanjung Embang akan menjadi bandar yang boleh membawa kemakmuran kepada Zon Selatan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2026, di sini pada Ahad.
Konvensyen tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Amar Fadillah menambah, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi ekonomi Sarawak turut mencerminkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik.
Antara komitmen pelaburan yang diumumkan termasuk pelaburan syarikat teknologi Jepun, SoftBank, bernilai AS$50 bilion serta pelaburan dari China berjumlah AS$1 bilion bagi memanfaatkan sumber gas Sarawak.
Jelas beliau, kestabilan politik, hala tuju pembangunan yang jelas, kepimpinan serta usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi menjadi antara faktor utama dalam menarik keyakinan pelabur.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya ketika menjelang pilihan raya.
“Kita bekerja sepanjang masa dan bukan berpolitik dan kita hanya berpolitik bila sampai pilihan raya. Menang, masanya kita berkempen habis-habisan. Habis kempen, habis pilihan raya, kita fokus balik untuk bekerja kepada rakyat dan negeri kita,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran komunikasi digital, khususnya penyebaran berita palsu dan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, penguasaan teknologi digital perlu dipertingkatkan dengan penglibatan aktif golongan belia bagi memastikan maklumat tepat mengenai dasar dan pencapaian pembangunan Sarawak dapat disampaikan kepada masyarakat.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta tetamu lain.-EDISI UKAS