Fadzio FT Dinobat Juara Liga Bola Sepak Lundu 2026
LUNDU: Pasukan Fadzio FT membuktikan mereka berada di kelas sendiri apabila dinobatkan sebagai juara Liga Bola Sepak Lundu 2026 selepas menewaskan Bajo Mix FC dengan keputusan 2-0 dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mini Lundu, pada Sabtu.
Kemenangan tersebut sekali gus melengkapkan perjalanan cemerlang Fadzio FT dalam kejohanan edisi kali ini, selain memperlihatkan kesungguhan dan semangat berpasukan yang tinggi dalam usaha merebut kejuaraan.
Perlawanan akhir itu turut mendapat perhatian para penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing, sekali gus memeriahkan suasana kejohanan bola sepak tempatan berkenaan.
Sementara itu, Kesuka FC berjaya meraih tempat ketiga selepas menewaskan Sampadi FC menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 4-3, sekali gus
menyaksikan Sampadi FC menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching, Azizul Annuar dan Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Billy Sujang.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Fauzi Wan Ismail, serta barisan pemimpin masyarakat dan ketua-ketua kaum. -EDISI UKAS