Pantu Kemuka Cadangan Projek Pembangunan Bernilai RM331 Juta
PANTU: Sebanyak RM331 juta nilai cadangan projek pembangunan dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak bagi menangani kekurangan infrastruktur pertanian, menambah baik kemudahan awam serta membangunkan potensi ekonomi di Daerah Pantu.
Pegawai Daerah Pantu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2026, Raca Mulong berkata, senarai permohonan itu disediakan berdasarkan keperluan penduduk di peringkat akar umbi, dengan tumpuan antaranya kepada kemudahan jalan dan jambatan ke kawasan pertanian.
Katanya, kekurangan akses jalan pertanian dan jambatan masih menyukarkan penduduk mengusahakan tanah serta membawa hasil pertanian keluar untuk dipasarkan.
“Penduduk mempunyai tanah dan menjalankan aktiviti pertanian, namun masih berdepan kekangan infrastruktur seperti jalan pertanian dan jambatan yang menyukarkan mereka mengusahakan tanah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17, di sini pada Ahad.
Antara kawasan yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan akses pertanian ialah Sebemban dan Bajaong.
Di Pekan Pantu pula, cadangan projek merangkumi penyediaan kawasan permainan, padang bola sepak dan kemudahan parkir bagi memenuhi keperluan penduduk.
Sementara itu, Sungai Tengah berpotensi diketengahkan menerusi produk makanan berasaskan itik sebagai tarikan ekonomi tempatan.
Bagi Lachau, perancangan pembangunan memberi tumpuan kepada penyediaan pelan induk serta penambahbaikan kawasan perniagaan dan kemudahan parkir. -EDISI UKAS