Populariti Nasi Itik Cetus Cadangan Bangunkan Sungai Tenggang Sebagai ‘Mini Siniawan’
PANTU: Populariti hidangan Nasi Itik yang menarik kehadiran pengunjung ke Pasar Sungai Tenggang mendorong cadangan membangunkan pekan itu sebagai destinasi pelancongan berkonsepkan warisan dan santai seperti Siniawan, Bau.
Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong berkata, cadangan menjadikan Sungai Tenggang sebagai ‘Mini Siniawan’ itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan pertanian dan pelancongan bernilai RM331 juta bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin yang telah dikemukakan kepada Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA).
Menurutnya, pembangunan berkenaan turut mencadangkan pelaksanaan projek penternakan itik bagi menyokong produk makanan tempatan yang sudah mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan pengunjung.
“Kami bercadang mahu menjadikan Pasar Sungai Tenggang sebagai ‘Mini Siniawan’ serta melaksanakan projek penternakan itik bersesuaian dengan produk nasi itik yang cukup popular dalam kalangan pengunjung di pasar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17, di sini pada Ahad.
Raca berkata, penganjuran pelbagai aktiviti komuniti juga penting untuk meningkatkan tarikan Daerah Pantu, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk dan peniaga tempatan.
Selain pembangunan Sungai Tenggang, pelan bernilai RM331 juta itu turut merangkumi cadangan pembinaan kemudahan parkir lebih luas, padang bola sepak dan taman pertanian di Pekan Pantu.
Cadangan berkenaan juga meliputi pembinaan jalan kebun serta jambatan di Sebemban, Jaong dan Tuba bagi memudahkan penduduk mengakses kawasan pertanian masing-masing.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan pembangunan berkenaan mendapat pertimbangan dan kelulusan SADA bagi memperluas potensi ekonomi serta meningkatkan kemudahan infrastruktur di Daerah Pantu. -EDISI UKAS