GPS Umum Calon PRN Sarawak Ke-13 Pada 25 November Ini
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh 82 calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 pada 25 November ini.
Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengumuman itu akan dibuat tiga hari sebelum tarikh penamaan calon yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 November.
“Kita akan kongsi (umum) pada 25 November, semua 82 calon. Ya, tunggulah, nanti saya akan panggil,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2026, di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, PBB bersama tiga parti komponen GPS, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan kesiapsiagaan jentera pilihan raya.
Berhubung pemilihan calon, beliau memaklumkan bahawa GPS dijangka menampilkan gabungan muka baharu dalam kalangan pemimpin muda dan pemimpin berpengalaman bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap sokongan akar umbi susulan sambutan menggalakkan sepanjang penganjuran siri Konvensyen Khas PBB melibatkan Zon Utara, Tengah, Betong dan Selatan. -EDISI UKAS