Keupayaan Menjana Hasil Sendiri Pacu Pembangunan Sarawak
KUCHING: Keupayaan Sarawak menjana hasil sendiri menjadi asas kepada pengukuhan kewangan negeri, sekali gus membolehkan lebih banyak projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan landskap ekonomi menuntut Sarawak untuk lebih berdikari dalam pengurusan kewangan dengan memanfaatkan sumber dan kuasa yang dimiliki.
Menurut beliau, pencapaian pembangunan Sarawak hari ini merupakan kesinambungan usaha pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kemajuan negeri.
“Keadaan kita dah berubah dan cara kita menguruskan ekonomi turut berubah di mana kita tidak boleh bergantung 100 peratus dengan orang lain. Kita sendiri mesti berdiri di atas kaki kita sendiri.
“Sarawak hari ini boleh berdiri di atas kakinya sendiri dan kaki ini mesti kuat. Kita berpegang dengan kaki kita Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), itu kaki kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Ahad.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, keupayaan menjana pendapatan sendiri membolehkan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan, termasuk memperluas bekalan elektrik ke rumah panjang di kawasan pedalaman yang sebelum ini berdepan kekangan peruntukan.
Justeru, usaha memperkukuh sumber pendapatan negeri perlu diteruskan bagi memastikan Sarawak mempunyai kedudukan kewangan yang mampan untuk memenuhi keperluan pembangunan serta meningkatkan taraf hidup rakyat. -EDISI UKAS