Sarawak Sasar Kedudukan Sebagai Hab Ekonomi Serantau
KUCHING: Sarawak menyasarkan kedudukan sebagai hab ekonomi serantau menerusi agenda pemodenan ekonomi negeri yang inklusif, sekali gus membuka lebih banyak peluang penyertaan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, agenda pembangunan negeri perlu diteruskan dengan mengambil kira kepentingan generasi akan datang, di samping memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati bersama.
“Kita tidak akan berganjak untuk memodenkan Sarawak supaya ia boleh bersaing dengan dunia. Ini perjuangan kita. Saya tidak akan menarik diri daripada itu. Kita akan meletakkan Sarawak sebagai hab di Asia dan di rantau ini, malah ke peringkat dunia dari sudut teknologi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, peluang dalam sektor ekonomi baharu perlu dibuka kepada semua kaum termasuk masyarakat Cina, Melayu, Iban, Orang Ulu dan Bidayuh.
Menurut beliau, penyertaan aktif rakyat dalam sektor ekonomi baharu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan yang dicapai Sarawak sepanjang sembilan tahun lalu bukan hasil usaha seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya merupakan pencapaian bersama seluruh rakyat.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta dif kenamaan lain. - EDISI UKAS