Hampir RM1 Bilion Untuk Pembangunan Balingian Hingga 2030
BALINGIAN: Hampir RM1 bilion diperuntukkan bagi pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian dari 2016 hingga 2030, dengan sebahagian besar dana disalurkan kepada projek bekalan air, jaringan jalan raya, jambatan dan kemudahan pendidikan.
Daripada keseluruhan RM999.17 juta itu, sebanyak RM645.47 juta diperuntukkan menerusi Projek Rakyat bagi melaksanakan 19 projek sepanjang 2016 hingga 2026.
Antara projek terbesar ialah Loji Rawatan Air Basong Fasa 3 bernilai RM243.98 juta dan Sistem Bekalan Air Balingian-Kuala Balingian-Serupai berjumlah RM150 juta.
Kedua-dua projek bekalan air itu melibatkan peruntukan hampir RM394 juta, selain pembinaan Jambatan Penakub Ulu Mukah bernilai RM60 juta dan Jalan Tellian By-Pass sebanyak RM30 juta.
Turut termasuk dalam senarai pembangunan ialah pengagihan gas bionatural daripada sisa sagu untuk kegunaan isi rumah luar bandar bernilai RM18.5 juta serta pembinaan kuarters Kerajaan Sarawak di Balingian berjumlah RM16.62 juta.
Selain Projek Rakyat, sebanyak RM47.5 juta disediakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), RM18 juta melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan RM8.5 juta bagi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), tujuh projek dengan peruntukan RM122.5 juta turut disenaraikan, termasuk pembinaan Jalan SK Sungai Liuk, Kuala Balingian (Fasa 3) bernilai RM45 juta, Stadium Tertutup Balingian (RM20 juta) dan Tanjung Pedada Eco-Park Mukah (RM15 juta).
Sementara itu, tujuh projek pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan sambungan RMK12 bagi tempoh 2026 hingga 2030 melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM157.2 juta.
Projek berkenaan termasuk pembangunan baharu SMK Balingian dan pembangunan semula SK Kuala Balingian yang masing-masing bernilai RM60 juta, penggantian bangunan daif SK Kampung Jebungan (RM20 juta) serta pembangunan semula SK Sungai Badengan (RM10 juta).
Keseluruhan peruntukan itu merangkumi enam kategori pembangunan yang memberi tumpuan kepada keperluan asas, kemudahan awam dan pendidikan penduduk Balingian. -EDISI UKAS