Warga Pendidik, Pelajar Diseru Hayati Disiplin dan Integriti Pasukan Beruniform
SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing menggesa warga pendidik dan pelajar yang menyertai pasukan beruniform supaya mempraktikkan disiplin tinggi, integriti serta komitmen sebenar, dan bukan sekadar menyarung pakaian seragam tanpa penghayatan.
Ahli Parlimen Bintulu itu menegaskan bahawa penghormatan masyarakat terhadap pasukan beruniform perlu dibuktikan melalui tindakan dan kualiti kepimpinan.
"Kalau kita guna uniform ini cuma untuk syok sendiri atau menunjuk-nunjuk kepada orang kononnya kita ada pangkat, tiada siapa akan menghormati kita.
"Melainkan anda membuktikan diri anda berdisiplin, berintegriti dan komited, barulah orang akan menghormati kita, terutama sekali murid-murid," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Pemantapan Pengurusan Kadet Remaja Sekolah (KRS) 2026 di Hotel Kingwood, pada Ahad.
Pada majlis yang sama, Dato Sri Tiong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25,000 bagi menyokong penganjuran kursus dan aktiviti KRS di daerah ini.
Beliau turut mencadangkan agar kursus pemantapan KRS dianjurkan dua hingga tiga kali setahun berbanding hanya sekali setahun ketika ini bagi memastikan penerapan nilai murni sentiasa segar.
Selain itu, beliau menyarankan pihak penganjur melibatkan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam sesi kursus akan datang bagi memberi pendedahan mengenai pencegahan jenayah serta semangat mempertahankan negara.
“Saya berpendapat bahawa pada tahun 1995, penubuhan KRS adalah untuk memberi peluang kepada murid-murid mempelajari cara menghormati orang lain.
“Namun, sebelum mengharapkan orang lain menghormati kita, kita terlebih dahulu perlu menunjukkan nilai-nilai murni dan kualiti diri yang baik. Itulah perkara yang sangat penting,” tambahnya.-EDISI UKAS