Persiapan Akhir Program Sarawakku Sayang Serian Dipergiat
SERIAN: Persiapan akhir Program Sarawakku Sayang (SKS) Zon Selatan Bahagian Serian yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 21 November ini terus dipergiat bagi memastikan kelancaran penganjuran program berkenaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua mengadakan lawatan kerja ke tapak penganjuran program di kawasan parkir Serian Conference Centre pada Ahad bagi meninjau tahap kesiapsiagaan serta kemudahan yang disediakan.
Antara lokasi yang ditinjau ialah khemah utama bagi acara perasmian yang dijadualkan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 21 November ini, jam 10.30 pagi.
Beliau turut meninjau Pusat Media, Sarawak Pavilion serta Serian Kitchen & Sales yang merupakan antara komponen utama program berkenaan.
Sejurus selesai lawatan tapak, Datu Felicia mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program Sarawakku Sayang Bahagian Serian Bilangan 2/2026 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada penyelarasan persiapan akhir serta memperkukuh kerjasama antara jawatankuasa dan agensi terlibat bagi memastikan kelancaran program.
Turut hadir, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Hajah Sapiah Daud, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Ketua Polis Daerah Serian Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian serta ketua dan wakil jabatan dan agensi kerajaan. –EDISI UKAS