Program Sentuhan Kasih Terus Santuni Golongan Memerlukan Di Matu
MATU: Keprihatinan terhadap golongan masyarakat yang memerlukan, khususnya pesakit terlantar dan individu berdepan masalah kesihatan, terus menjadi perhatian Pusat Khidmat menerusi pelaksanaan Program Sentuhan Kasih yang menjadi program sepanjang tahun.
Program diadakan pada Sabtu itu turut disertai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato‘ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
Menerusi program tersebut, seramai 21 penerima telah disantuni melalui penyampaian sumbangan bakul makanan bagi membantu meringankan beban serta memenuhi keperluan harian mereka, manakala tiga penerima yang menghadapi masalah kesihatan menerima kerusi roda dan bakul makanan.
Selain menyampaikan bantuan, kunjungan dari rumah ke rumah itu turut memberi peluang kepada Datuk Dr. Juanda dan pihak Pusat Khidmat untuk bertanya khabar, mendengar keperluan penerima serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.
Inisiatif berkenaan katanya mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir daripada perhatian dan pembelaan.
Penerima turut menzahirkan rasa terharu dan penghargaan atas sumbangan serta kunjungan yang disifatkan cukup bermakna, sekali gus memperlihatkan bahawa perhatian dan sentuhan kemanusiaan mampu membawa kegembiraan kepada mereka.
Program Sentuhan Kasih diharap dapat terus menjadi wadah kebajikan dalam memperkukuh hubungan Pusat Khidmat dengan masyarakat, di samping menyemai nilai keprihatinan dan semangat saling membantu dalam komuniti. - EDISI UKAS