Program Sarawakku Sayang Serian Sasar 30,000 Pengunjung, Tawar 152 Perkhidmatan
SERIAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian yang bakal berlangsung pada 20 hingga 21 November ini menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung dengan menawarkan 152 perkhidmatan daripada 48 agensi di bawah satu bumbung.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua berkata, Serian dipilih sebagai lokasi penganjuran siri ke-10 program berkenaan yang menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
Menurut beliau, pendekatan turun padang itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar.
Program tersebut turut membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat, khidmat nasihat serta menyelesaikan pelbagai urusan perkhidmatan awam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program Sarawakku Sayang Bahagian Serian Bilangan 2/2026, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datu Felicia berkata, antara fokus utama penganjuran kali ini ialah penyediaan kaunter pertanyaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta JobSarawak.
Menerusi kaunter berkenaan, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan bantuan kerajaan, peluang melanjutkan pengajian tinggi, padanan pekerjaan serta berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan.
Selain itu, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk saringan kesihatan percuma, pameran pembangunan, sukaneka, aktiviti kemasyarakatan dan Konsert Rakyat yang menampilkan artis tempatan serta penyanyi terkenal, Rahmat Mega.
Penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk beberapa buah motosikal.
Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual menyempurnakan majlis perasmian program tersebut pada 21 November ini, jam 10.30 pagi di khemah utama, Serian Conference Centre.
Premier Sarawak juga dijangka menyampaikan amanat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan, projek pembangunan mega di Serian serta hala tuju pembangunan Sarawak.
Sehubungan itu, Datu Felicia menyeru penduduk di Bahagian Serian dan kawasan sekitarnya agar tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti yang disediakan sepanjang dua hari penganjuran program tersebut.
Turut hadir ialah Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Hajah Sapiah Daud, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian serta ketua-ketua dan wakil jabatan serta agensi kerajaan. –EDISI UKAS