Datuk Dr Juanda Terus Perkukuh Perpaduan, Dekati Masyarakat Akar Umbi Di Matu
MATU: Memperkukuh perpaduan serta memastikan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat terus terpelihara menjadi antara fokus Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya menerusi Program Ramah Mesra JKKK/NGO Daerah Matu.
Program yang melibatkan penduduk Kampung Dagang Sekaan, Kg Muut, Kg Masjid, Kg Treng, Kg Bawang dan Kg Jemoreng itu memberi ruang kepada Datuk Dr Juanda untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin masyarakat, JKKK, NGO serta penduduk setempat.
Pertemuan tersebut turut dimanfaatkan bagi menyampaikan mesej mengenai pentingnya perpaduan, semangat kebersamaan dan kerjasama semua pihak dalam menyokong serta menjayakan agenda pembangunan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa memelihara keharmonian dan memperkukuh perpaduan sebagai asas penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) tidak seharusnya dilihat sekadar perancangan kerajaan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada hasil pembangunan dan manfaat yang dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, kesepaduan dalam kepimpinan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak perlu disokong dengan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat.
Katanya, segala perancangan pembangunan serta penyediaan pelbagai kemudahan oleh kerajaan memerlukan sokongan dan kerjasama masyarakat setempat bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat direalisasikan dengan jayanya.
Beliau menjelaskan bahawa tanpa penglibatan dan sokongan penduduk, pelaksanaan sesuatu perancangan pembangunan berkemungkinan berdepan pelbagai kekangan.
Justeru, masyarakat katanya perlu memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dengan memberikan kerjasama kepada kerajaan serta agensi pelaksana demi memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara menyeluruh.
Sementara itu, penduduk yang ditemui menyambut baik pendekatan turun padang berkenaan kerana memberi peluang kepada mereka untuk bersemuka dan berinteraksi secara langsung dengan pemimpin.
Mereka turut berpandangan bahawa pelbagai usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan Sarawak sejak kebelakangan ini telah memperlihatkan perubahan positif yang bukan sahaja dapat dilihat, malah turut dirasai oleh masyarakat setempat.
Dalam masa sama, penduduk menzahirkan penghargaan terhadap komitmen kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta menyediakan kemudahan yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Program Ramah Mesra JKKK/NGO Daerah Matu diharap dapat terus menjadi platform memperkukuh hubungan antara pemimpin dengan rakyat, di samping menyemai persefahaman, memupuk semangat perpaduan dan mempertingkat kerjasama semua pihak dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak. - EDISI UKAS