90 Pelajar Sekolah Rendah Sertai Pertandingan Bola Jaring Spaoh 2026
SPAOH: Seramai 90 pelajar daripada tujuh sekolah rendah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menyertai Pertandingan Bola Jaring Spaoh 2026 sebagai usaha mencungkil bakat sukan di peringkat akar umbi.
Kejohanan anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Saban yang berlangsung di Gelanggang Futsal Spaoh pada Sabtu itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau dalam kesempatan meluangkan masa menyaksikan perlawanan persahabatan serta beramah mesra dengan barisan guru pengiring dan para peserta.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan peringkat rendah sedemikian merupakan platform penting bagi membolehkan murid-murid mengetengahkan potensi diri, sekali gus memupuk disiplin, semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan sejak awal.
Tambah beliau, penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan perlu bergerak seiring dengan kecemerlangan akademik bagi melahirkan generasi muda yang seimbang serta berdaya saing.
Tujuh sekolah rendah yang mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Penom, SK Spaoh, SK Nanga Gayau, SK St. John, SK Paku Central, SK Suri dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Spaoh.
Dalam lawatan singkat itu, Datuk Amar Douglas Uggah turut menyaksikan aksi perlawanan sengit antara pasukan SK Penom menentang SK Paku Central yang berlangsung dalam suasana meriah.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong. -EDISI UKAS