TYT Sarawak Seru UTS Komersialkan Penyelidikan Jadi Syarikat Permulaan, Jana Pendapatan
SIBU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru Universiti Teknologi Sarawak (UTS) agar mengkomersialkan penyelidikan mereka menjadi syarikat permulaan dan teknologi baharu yang menjana pendapatan untuk institusi serta negeri.
Beliau yang juga Canselor UTS menegaskan bahawa penemuan akademik mesti melangkaui penerbitan ilmiah dan menghasilkan impak ketara di dunia nyata.
"Penyelidikan yang baik tidak seharusnya terhenti pada sehelai kertas. Ia harus berakhir pada produk, syarikat, mata pencarian, dan pulangan yang membolehkan universiti ini melabur semula untuk dirinya sendiri dan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-11 UTS Sidang Pertama pada sebelah pagi yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Sehubungan itu, beliau juga menggalakkan para penyelidik UTS agar meluaskan penerbitan penemuan mereka, termasuk pengetahuan Orang Asal yang unik bagi komuniti di Sarawak, supaya ia dapat dikongsi dan dikaji di peringkat global daripada terus tersimpan rapi.
Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS2030), Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi memuji usaha UTS dalam membina kepakaran penyelidikan khusus dalam bidang teknologi hijau, kelestarian, and pengurusan karbon.
Beliau turut melahirkan harapan agar UTS memainkan peranan penting dalam aspirasi angkasa lepas Sarawak, yang merangkumi penubuhan agensi angkasa lepas negeri serta pelancaran nanosatelit pertama ke orbit bagi mempertingkatkan komunikasi luar bandar dan membuka lembaran baharu bidang penyelidikan.
Majlis Konvokesyen Ke-11 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menyaksikan seramai 586 graduan diraikan, di mana seramai 34 graduan menerima ijazah pascasiswazah, manakala 552 graduan dianugerahkan ijazah sarjana muda.
Pencapaian cemerlang akademik luar biasa seorang graduan turut diiktiraf menerusi penganugerahan Anugerah Canselor yang berprestij.
Selain itu, dua graduan turut menerima Anugerah Akademik yang disampaikan oleh Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi semasa Sidang Pertama Majlis Konvokesyen berkenaan.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UTS Datuk Dr Annuar Rapa'ee, Pengerusi Lembaga Gabenor UTS Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Hakim Juri dan Naib Canselor UTS Profesor Dr Mohammad Shahril Osman.-EDISI UKAS