Anak Muda Perlu Rebut Peluang Dalam Sektor Koperasi
SIBU: Golongan muda di Sarawak digesa merebut peluang dalam sektor koperasi dengan meneroka bidang perniagaan baharu yang berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Masyarakat Melayu Melanau, Temenggung Dato Sri Wan Hamid Edruce Mohammad berkata, sektor koperasi mempunyai ruang luas untuk berkembang sekiranya diusahakan dengan kesungguhan, keyakinan dan semangat kerjasama.
"Bidang koperasi mempunyai potensi yang sangat besar. Sekiranya kita bekerja keras, mempunyai keyakinan dan kesungguhan, saya percaya kita mampu mencapai kejayaan," katanya ketika berucap pada Kenyalang Coop Festival 2026 di Perkarangan ANGKASA Wilayah Sibu di sini pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan golongan muda supaya tidak melepaskan peluang yang tersedia, khususnya dalam pelbagai bidang ekonomi yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Antara bidang yang berpotensi dikembangkan termasuk pertanian, pelancongan, pemprosesan hasil perikanan serta perusahaan berasaskan sumber tempatan yang mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri.
Menurutnya, usaha mengembangkan sektor berkenaan memerlukan gerakan koperasi lebih berani mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan perniagaan yang diceburi bukan sahaja mampu bertahan, malah berkembang secara berterusan.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber semula jadi termasuk hasil sungai, perikanan, pasir dan pelbagai sumber lain yang boleh dimanfaatkan sebagai asas kepada pembangunan kegiatan ekonomi.
Potensi tersebut turut merangkumi sektor pembinaan, pertanian dan perikanan yang bukan sahaja membuka ruang kepada penyertaan usahawan baharu, malah berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha merebut peluang ekonomi perlu disertai peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya sumber serta potensi yang ada dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan.
"Ilmu yang diperoleh hendaklah dimanfaatkan untuk membangunkan perniagaan serta ekonomi Sarawak," katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama, kesungguhan dan kesediaan berkongsi ilmu sebagai asas memperkukuh gerakan koperasi.-EDISI UKAS