RM200,000 RTP Bina Parit Di Rumah Panjang Pais Skrang
LUBOK ANTU: Penduduk Rumah Panjang Pais Skrang bakal menikmati kemudahan saliran lebih baik menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000 bagi pembinaan parit di sekeliling rumah panjang itu pada 2027.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM238,000 yang diumumkan menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan RTP bagi menyokong pembangunan serta memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau mengumumkan peruntukan itu ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (MPBR), di sini pada Ahad.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM38,000 disalurkan menerusi MRP dengan pecahan RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pais, RM8,000 kepada Jawatankuasa Gerempung Indu Pais dan RM5,000 kepada Biro Pendidikan Pais.
Sementara itu, peruntukan RTP sebanyak RM200,000 bagi 2027 disalurkan kepada JKKK Pais untuk melaksanakan projek pembinaan parit di sekeliling rumah panjang.
Dalam ucapannya, Roy menjelaskan setiap Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima peruntukan MRP sebanyak RM2 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Sarawak pula menyediakan peruntukan RTP sebanyak RM2.5 juta setahun bagi menyokong pelaksanaan projek pembangunan dan memenuhi keperluan masyarakat di kawasan masing-masing. -EDISI UKAS