Kursus Asas Bermain Hadrah Bersistematik Tarik Minat 50 Peserta di Asajaya
ASAJAYA: Kursus Asas Bermain Hadrah secara bersistematik berjaya menarik penyertaan seramai 50 peserta, sekali gus mencerminkan minat masyarakat setempat terhadap usaha mempelajari, memperkasa dan melestarikan seni warisan tradisional itu.
Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin berkata, jumlah penyertaan tersebut melebihi sasaran awal seramai 30 orang susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurut beliau, penyertaan selama dua hari itu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, pelajar sekolah, penggiat seni berpengalaman serta peserta baharu, merangkumi lelaki dan wanita.
Katanya, kursus berkenaan memberi peluang kepada peserta mempelajari seni hadrah secara lebih tersusun, merangkumi aspek teori, teknik pukulan serta kaedah memegang alat muzik dengan betul menerusi bimbingan tenaga pengajar berpengalaman.
"Jika dahulu kemahiran bermain hadrah dipelajari secara tidak formal dengan mengikuti penggiat lama di masjid dan surau, namun menerusi kursus ini peserta berpeluang mempelajari silibus, teori serta teknik pukulan dan pegangan alat yang betul daripada tenaga pengajar berpengalaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan kursus yang diselaraskan oleh Penyelaras Kursus, Dr. Kamil Salem, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Jerry menggalakkan peserta memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dengan menubuhkan kumpulan hadrah di kampung masing-masing bagi memastikan kesinambungan seni warisan tersebut.
Beliau berharap sekurang-kurangnya sebuah kumpulan hadrah dapat diwujudkan dan digerakkan secara aktif di setiap kampung di daerah Asajaya, sekali gus merancakkan kegiatan seni dan kebudayaan di peringkat komuniti.
Beliau dalam kesempatan turut menyarankan agar kursus seumpama itu diteruskan dan diperluaskan kepada cabang seni tradisional lain yang sinonim dengan masyarakat Asajaya dan Sadong Jaya, termasuk bergendang, bertandak, nyanyian asli serta permainan gambus.
Turut hadir, Penghulu kawasan Asajaya Dahlan Man, tenaga pengajar kursus Arif, serta ketua-ketua kaum setempat, Awang Mohd Jelan Awang Sijo, Azri dan Jasman. -EDISI UKAS