Karnival Sukan Beliawanis Tanjong Datu Perkukuh Perpaduan, Perkasa Wanita Melalui Sukan
SEMATAN: Karnival Sukan Beliawanis N3 Tanjong Datu 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat serta memperkasakan penglibatan golongan wanita dalam aktiviti kesukanan, riadah dan kebudayaan di kawasan Lundu dan Sematan.
Program anjuran Beliawanis Tanjong Datu (PBB/GPS) yang berlangsung pada Sabtu itu menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan umur menerusi pengisian aktiviti yang diadakan di beberapa lokasi termasuk Dewan Masyarakat Kampung Tanah Hitam dan Padang Futsal Sematan Indoor.
Antara acara utama yang mendapat sambutan ialah Kejohanan Futsal Wanita Lundu-Sematan yang menyaksikan penyertaan sebanyak 16 pasukan, selain Kejohanan Bola Tampar Tertutup Lundu-Sematan yang melibatkan 10 pasukan campuran dengan komposisi empat lelaki dan dua perempuan bagi setiap pasukan.
Selain pertandingan sukan berpasukan, karnival yang bermula seawal jam 7 pagi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai dan kemasyarakatan termasuk senamrobik Zumba, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 10 tahun serta acara sukaneka tradisional.
Antara aktiviti sukaneka yang dianjurkan ialah pertandingan menganyam ketupat, permainan kain sarung, getah beracun, belon berirama, pijak kotak dan lompat kiri kanan yang bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggalakkan interaksi serta semangat kerjasama dalam kalangan peserta.
Kemuncak karnival pada sebelah malam turut diserikan dengan kehadiran Azizul Annuar Adenan yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang penganjuran karnival berkenaan.
Suasana malam penutupan bertambah meriah dengan penganjuran Pertandingan Ratu Kebaya serta persembahan pancaragam secara langsung yang mengetengahkan elemen kesenian dan kebudayaan sebagai pelengkap kepada aktiviti kesukanan.-EDISI UKAS