Rebut Peluang Bantuan Pendidikan Yang Disediakan Kerajaan Sarawak Untuk Berjaya
BAU: Masyarakat khususnya golongan pelajar, digesa merebut pelbagai peluang dan bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi mencapai kejayaan tanpa mengira latar belakang keluarga atau kedudukan ekonomi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, peluang untuk berjaya terbuka kepada semua, namun ia bergantung kepada usaha, disiplin dan kesungguhan individu itu sendiri.
“Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif pendidikan, tetapi jika peluang itu tidak diambil, ia bukan salah orang lain, sebaliknya diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pendidikan Pemangkin Pembangunan Insan Daerah Bau, di sini pada Ahad.
Datuk Henry menegaskan, pendidikan bukan sahaja membekalkan ilmu pengetahuan, malah membentuk sahsiah, disiplin, keyakinan diri dan kemahiran untuk menghadapi cabaran masa depan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan golongan pelajar supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang tersedia, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita masing-masing.
Dalan pada itu, Datuk Henry turut menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam memberikan sokongan, dorongan dan pemantauan berterusan terhadap perkembangan pendidikan anak-anak.
Beliau memuji usaha Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) dan Yayasan Sarawak dalam melaksanakan inisiatif pendidikan dan sosioekonomi, sambil berharap kerjasama dengan Pejabat Daerah Bau terus diperkukuh bagi memperluas manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya, pembangunan insan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan lebih ramai golongan sasaran mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, Pengurus Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) Jolly Marikan, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ong Chin Ping, Pemanca Masyarakat Bidayuh Daerah Bau Robert Tom Juin dan Pemanca Masyarakat Cina Daerah Bau Bong Jong Long. -EDISI UKAS