Sindiket Dadah Sasar Belia Melalui Vape, Ibu Bapa Diminta Tingkat Pemantauan
LIMBANG: Sindiket pengedaran dadah kini semakin licik menyasarkan golongan muda menerusi penyalahgunaan dadah sintetik yang dicampurkan ke dalam cecair rokok elektronik atau vape, sekali gus menuntut pemantauan lebih rapi oleh ibu bapa.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, institusi keluarga merupakan benteng utama dalam melindungi anak-anak daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah, termasuk taktik baharu sindiket yang menggunakan media sosial untuk mencari mangsa.
“Institusi keluarga merupakan barisan pertahanan paling utama. Ibu bapa perlu memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak, khususnya di ruang siber memandangkan sindiket kini semakin licik menggunakan media sosial untuk memburu mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Merdeka: Suara Insaf Dari Penjara Ke Komuniti, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, usaha membendung penyalahgunaan dadah memerlukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan agensi penguatkuasaan.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Penjara Pusat Limbang bagi menyokong kesinambungan pelaksanaan program kesedaran antidadah pada tahun hadapan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai saluran pendidikan dan kesedaran masyarakat, khususnya dalam membendung penyalahgunaan dadah dari peringkat akar umbi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Penolong Pengarah Penjara Pusat Limbang Usman Mala, Wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland dan Tuai Rumah Kampung Penganan Baba Ajit. -EDISI UKAS