Ibu Bapa Jangan Tunggu Anak Terjebak Dadah, Pencegahan Bermula Dari Rumah
BINTULU: Ibu bapa tidak seharusnya menunggu sehingga anak terjebak dalam penyalahgunaan dadah sebelum mengambil tindakan, sebaliknya perlu memberikan bimbingan, perhatian dan nasihat secara berterusan sebagai langkah pencegahan awal.
Wakil Pegawai Daerah Bintulu, Ali Hikmatullah Khan Ali Sabri Khan berkata, didikan dan pengawasan keluarga memainkan peranan penting dalam melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif yang boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah.
“Jadikan anak-anak kita sebagai amanah yang perlu dijaga dan dibimbing dengan sebaik-baiknya.
“Jangan tunggu sehingga sesuatu perkara berlaku, barulah kita hendak mengambil tindakan.
“Nasihat yang terbaik adalah bermula dari rumah sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Program Komuniti Bebas Dadah, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, usaha membendung penyalahgunaan dadah bukan hanya tanggungjawab Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak polis, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat, khususnya kepimpinan kampung dan ibu bapa.
Menurutnya, golongan belia dan remaja juga perlu mengisi masa lapang dengan aktiviti sukan serta kegiatan kemasyarakatan bagi membina pergaulan positif dan mengelakkan diri daripada pengaruh tidak sihat.
“Jangan biarkan masa lapang anda diisi dengan aktiviti yang tidak berfaedah sehingga membuka ruang kepada pengaruh yang tidak baik,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pertandingan mewarna bertemakan antidadah yang diadakan sempena program itu sebagai pendekatan pendidikan awal untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat, khususnya kanak-kanak, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Katanya, penganjuran aktiviti seumpama itu merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan melalui geran Kerajaan Sarawak kepada pejabat daerah bagi menjayakan program pencegahan dadah berdasarkan keperluan komuniti setempat. -EDISI UKAS