SJKC Jadi Pilihan Merentas Kaum, Bukti Keterangkuman Pendidikan Sarawak
MIRI: Penyertaan murid Bumiputera di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sarawak memperlihatkan peranan institusi pendidikan itu dalam menyediakan ruang pembelajaran kepada masyarakat berbilang kaum, bukan hanya tertumpu kepada satu kelompok etnik.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Kerajaan Sarawak terus menyokong pembangunan pendidikan Cina serta sekolah aliran lain bagi memastikan peluang pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, penyertaan murid Bumiputera di SJKC menunjukkan pendidikan turut berperanan sebagai wadah yang menghubungkan masyarakat daripada latar belakang kaum dan budaya berbeza.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Persatuan Sim Miri, di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Dr Sim menambah, komitmen kerajaan terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi peningkatan pelaburan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif negeri, termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Menerusi skim itu, anak Sarawak berpeluang melanjutkan pengajian dalam kursus terpilih di institusi pengajian tinggi milik negeri tanpa dikenakan yuran pengajian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap Persatuan Sim Miri terus memperluas sumbangan dalam bidang kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti, selain meningkatkan kerjasama dengan persatuan Cina serta pertubuhan masyarakat lain.
Beliau turut menggalakkan persatuan itu memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda dan wanita untuk terlibat dalam pengurusan serta proses membuat keputusan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan organisasi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Persatuan Sim Miri Sim Soon Tian dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sim Kim Seng. -EDISI UKAS