Datuk Dr. Juanda Meriahkan Pertandingan Memanah Dan Petanque Karnival Sukan Daerah Matu 2026
MATU: Kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Datuk Dr. Juanda Jaya ke Karnival Sukan Daerah Matu 2026 menyemarakkan lagi kemeriahan penganjuran pertandingan berkenaan pada Sabtu.
Dua acara sukan dipertandingkan iaitu pertandingan memanah yang berlangsung di Gelanggang Futsal Matu, manakala pertandingan petanque di Gelanggang Petanque Matu.
Menariknya, Datuk Dr Juanda turut mengambil peluang merasai sendiri pengalaman kedua-dua sukan tersebut dengan mencuba teknik serta kaedah permainan, sekali gus menunjukkan minat dan sokongan terhadap aktiviti sukan yang dianjurkan.
Kehadiran beliau turut menyuntik semangat kepada para peserta yang mengambil bahagian, selain memberi penghargaan terhadap usaha penganjur dalam menyediakan platform sukan kepada masyarakat setempat.
Para peserta menyambut baik penganjuran karnival berkenaan yang bukan sahaja memberi peluang meningkatkan kemahiran dan pengalaman dalam sukan masing-masing, malah menjadi ruang mengeratkan silaturahim, menambah kenalan serta berkongsi ilmu dan teknik permainan.
Penganjuran Karnival Sukan Daerah Matu 2026 diharap dapat terus memupuk budaya hidup aktif dan sihat, di samping memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti sukan. - EDISI UKAS