Limbang Open Tug Of War Tarik 50 Pasukan, Jana Impak Ekonomi RM1.2 Juta
LIMBANG: Limbang Open International Tug of War 2026 yang menghimpunkan 50 pasukan dari dalam dan luar negara dijangka menjana pulangan ekonomi kira-kira RM1.2 juta kepada kawasan itu, sekali gus memberi manfaat kepada sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan perniagaan setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penyertaan pasukan dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta Brunei Darussalam membuktikan kejohanan itu berupaya menarik penyertaan melangkaui peringkat tempatan.
Menurut beliau, kehadiran peserta, pegawai pasukan, penyokong dan pengunjung dari luar Limbang turut merancakkan aktiviti ekonomi, khususnya melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman serta pengangkutan.
“Penganjuran kejohanan ini merupakan inisiatif positif dalam memartabatkan sukan tarik tali, di samping membuka ruang kepada atlet menunjukkan kemampuan, disiplin dan semangat kesukanan masing-masing.
“Apa yang lebih membanggakan, kejohanan ini bukan sahaja menghimpunkan pasukan dari sekitar Sarawak, malah turut menerima penyertaan dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta negara jiran, Brunei Darussalam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Perasmian Limbang Open International Tug of War 2026, di sini pada Sabtu.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM112,000 bagi semua kategori yang dipertandingkan.
Bagi kategori terbuka, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000, manakala kategori wanita dan remaja masing-masing menawarkan hadiah utama RM5,000.
Datuk Anar Awang Tengah berkata, sukan tarik tali bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, malah menuntut kesepakatan, strategi, disiplin dan kerjasama berpasukan dalam kalangan peserta.
Beliau berharap kejohanan itu dapat menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan, seterusnya melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia pada peringkat lebih tinggi.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Rozita Kulai, Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang Sufian Mohat, wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David dan wakil Ketua Polis Daerah Limbang Steel Entay. -EDISI UKAS