Kehidupan Di Rumah Panjang Cerminkan Nilai Perpaduan Masyarakat
MIRI: Kehidupan masyarakat di rumah panjang yang mengamalkan konsep tinggal bersama di bawah satu bumbung mencerminkan nilai perpaduan, kerjasama dan toleransi yang boleh dijadikan ruang pembelajaran dalam usaha mengeratkan hubungan masyarakat Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, kunjungan ke rumah panjang memberi peluang kepada peserta program integrasi mengenali dengan lebih dekat adat, tradisi dan cara hidup masyarakat setempat.
“Konsep hidup bersama di bawah satu bumbung menggambarkan nilai perpaduan yang sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Jalinan Integrasi Nasional Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Menggatal, Kota Kinabalu bersama Jawatankuasa Pemuafakatan Rukun Tetangga Daerah Subis 2026, di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan KRT perlu menjadi penghubung masyarakat pelbagai kaum melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, kesukarelawanan dan kebajikan.
Katanya, aktiviti sedemikian perlu diteruskan bagi menggalakkan penduduk saling mengenali, menghormati dan membantu antara satu sama lain.
Turut hadir, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Miri Diana Seliman. -EDISI UKAS